Teori Herbert Read dan Victor Lowenfeld dalam dimensi psikologi PSV dalam PdP


"Guru perlu mengenalpasti kebolehan sendiri sama ada dari sudut kognitifnya mahupun kreativitinya sebelum dianggap mahir dalam profesion perguruannya. Guru yang mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi akan melahirkan individu yang kreatif serta mampu mempunyai kesedaran estetika yang tinggi dalam masyarakat."

Bincangkan penyataan di atas dengan mengambilkira Teori Herbert Read dan Victor Lowenfeld dalam dimensi psikologi PSV dalam PdP .

Kreativiti merupakan kebolehan berimaginasi atau mencipta sesuatu yang baharu. Ia merupakan satu kebolehan menjana idea baharu dengan menggabung, mengubah dan mengaplikasikan semua idea. Kreativiti adalah sesuatu yang asli di mana ia merupakan satu proses separa sedar dan sesiapa sahaja boleh menjadi kreatif tetapi tidak semua orang kreatif. Kreativiti bukan hanya bergantung kepada keupayaan, tetapi juga sikap seseorang dalam menghadapi kehidupan. Kreativiti paling jelas dapat dilihat pada kanak-kanak kerana bagi mereka segalanya adalah baru dan otak mereka yang kecil sentiasa cuba menggabungkan fikiran dan idea-idea, sambil meneroka dunia di sekeliling mereka.

Kognitif pula merujuk kepada intelek atau pemikiran individu. Perkembangan kognitif memfokuskan kepada cara seseorang belajar dan proses mendapat maklumat. Dengan kata lain, ia proses memperkembangkan daya fikir atau membina pengetahuan terutama kepada kanak-kanak. Seseorang kanak-kanak yang genius teguh tidak mudah tergoda dengan kejayaan. Perkembangan kemahiran terutama kepada kanak-kanak melibatkan perubahan struktur mental. Ia melibatkan bahasa, imaginasi, mental, fikiran, penaklukan, penyelesaian masalah dan memori. Kebolehan kanak-kanak menyelesaikan sesuatu masalah dapat kita gunakan sebagai mengukur perkembangan intelek mereka.

Dalam Pendidikan Seni Visual (PSV) kognitif dan kreativiti seharusnya selari dan
perlu dikenalpasti sebelum dapat menguasai kemahiran yang dipelajari. Untuk memastikan seseorang murid menjadi seorang yang kreatif dan mampu mempunyai kesedaran estetika yang tinggi, seorang guru terlebih dahulu mestilah mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi. Seorang guru perlu mengenalpasti potensi dan kebolehan diri sama ada dari sudut kreativiti mahupun kognitifnya. Guru yang berkemahiran tinggi dianggap sebagai guru yang berkualiti dan berinovasi.

Guru berinovasi ialah guru yang mempunyai kebolehan untuk melengkapkan murid dengan kemahiran alaf baru seperti keupayaan berfikir secara kritis, kebijaksanaan menyelesaikan masalah dan mempunyai daya kreativiti yang tinggi. Guru berinovasi juga akan memberi tumpuan kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang boleh merangsang daya fikir dan daya kreativiti murid. Menurut  Victor Lowenfeld (1975),  beliau percaya bahawa setiap kanak-kanak dilahirkan kreatif. Pernyataan ini disokong dengan sifat semulajadi kanak-kanak yang gemar meneroka dan penuh dengan perasaan ingin tahu. Enam tahap perkembangan yang dikenalkan oleh Lowenfeld menunjukkan bahawa kanak-kanak mampu menjana kreativiti mereka sekiranya dibimbing dengan betul. Jadi kewajipan guru ialah untuk memastikan murid berupaya memperkembangkan kreativiti mereka dengan seimbang dan seterusnya menggunakan ilmu yang diajar bukan setakat untuk berjaya dalam peperiksaan, tetapi memastikan mereka mempunyai kesedaran estetika yang tinggi dalam masyarakat amnya.

Selain daripada itu, guru yang berkemahiran tinggi ialah guru yang mampu menyediakan persekitaran pembelajaran paling kondusif dan memberi ruang seluas-luasnya kepada murid untuk mengasah kebijaksanaan berfikir. Pernyataan ini bersesuaian dengan apa yang terdapat dalam teori Victor Lowenfeld (1975) yang yang menyatakan salah satu halangan kreativiti ialah halangan persekitaran / budaya di mana menyatakan bahawa persekitaran yang tidak kondusif tidak akan dapat membina daya kreativiti murid. Jadi guru seharusnya mempunyai ilmu pengetahuan dan berkemahiran yang tinggi dalam memahami cirri-ciri yang sesuai dan mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi membina kreativiti murid ke tahap yang maksima.

Satu lagi halangan kreativiti yang ditekankan oleh Lowenfeld ialah halangan yang bersifat psikologi/emosi. Halangan ini perlu dihakis oleh guru bagi memastikan murid dapat berkembang dengan baik dan mampu menjana kreativiti mereka. Kanak-kanak memang terkenal dengan sikap ingin tahu dan kerap bertanya. Untuk menjadi guru PSV yang berinovasi dan berkemahiran tinggi, seorang guru itu perlu mempunyai kemahiran komunikasi yang berkesan dalam memenuhi jawapan bagi setiap pertanyaan yang dikemukakan oleh para pelajar mereka. Seseorang kanak-kanak mungkin akan menjadi bosan dan serik apabila gurunya tidak melayan atau menjawab persoalan yang dikemukankan. Kanak-kanak yang banyak bertanya adalah kanak-kanak yang kreatif dan mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi.  Sifat ini perlu dikekalkan dan dibentuk untuk menjadi lebih positif agar murid akan lebih kreatif di masa hadapan.

Menurut Herbert Read pula, seni adalah penghasilan rupa dan bentuk yg menimbulkan keceriaan, keseronokan dan kedamaian estetik. Seni juga adalah alat untuk mendidik seseorang dan seni boleh menyatukan semua negara (pendidikan dan pembentukan diri). Sehubungan dengan itu, seorang guru perlu melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan mereka berkaitan seni, kreativiti dan apresiasi seni yang mendalam sebelum mampu membimbing dan mendidik para pelajarnya untuk menjadi seorang yang kreatif dan inovatif. Seorang guru perlu merancang dan memilih kaedah, strategi, teknik dan pendekatan yang bersesuaian bagi memastikan sesi pembelajaran PSV di kalangan murid-murid berlangsung dalam suasana yang ceria dan menyeronokkan. Ini seterusnya akan melahirkan murid yang kreatif dan mampu bersaing di dunia luar satu hari nanti.

Read juga menyatakan bahawa  kita tidak hanya  mengajar kanak-kanak mengetahui, tetapi juga pada masa yang sama, mengajar mereka mencipta. Untuk mengetahui fakta (otak kiri) adalah suatu perkara, dan menukarkan fakta  kepada bentuk baru memerlukan keupayaan membuat  metafora (otak kanan) adalah suatu perkara lain, yang merupakan fungsi pemikiran kreatif.  Bagi mempertingkatkan daya kraetiviti seseorang, pembelajaran dan pengalaman aktiviti Pendidikan Seni adalah diperlukan.  Oleh itu, guru PSV hendahklah mampu menjadikan aktiviti dalam proses pengajaran dan pembelajran PSV  selaras dengan objektif yang menuju kearah tujuan seperti memahami dan bertindak terhadap aspek seni, mengetahui pentingnya nilai seni dalam kehidupan, menghasilkan karya (produk seni), memahami seni dan membuat dan menggunakan pertimbangkan estetik dan kualiti karya seni. Guru PSV perlu mempunyai kreativiti yang tinggi sebelum dapat menggalakkan perkembangan kreativiti para pelajar. Seorang guru yang berkemahiran juga akan mampu menjadikan pemikiran kreatif para pelajarnya befungsi dengan sbaik mungkin. BY SITI HAYATI


Comments

Popular posts from this blog

'Someone Forgotten’ (1999) Oleh Wong Woan Lee: Satu Kritikan Seni (APRESIASI)

"PENGALAMAN PENDIDIKAN SENI MEMBANTU MENINGKAT KREATIVITI DALAM KEHIDUPAN SOSIAL MASYARAKAT" BY SITI HAYATI