'Someone Forgotten’ (1999) Oleh Wong Woan Lee: Satu Kritikan Seni (APRESIASI)


Biografi Wong Woan Lee
Tidak banyak maklumat yang dapat digali daripada internet atau dari mana-mana sumber bagi pelukis muda ini. Wong Woan Lee merupakan angkatan pelukis wanita masa kini yang mendapat pelajaran formal tentang seni visual. Beliau dilahirkan pada 1970. Beliau mendapat pendidikan formal seni visual pada 1992 di Kuala Lumpur Collage of Art.

Berpandukan petikan akhbar New Strait Times, Oktober 1999, Wong Woan Lee telah menyertai Pertandingan Philip Morris Group of Companies Asean Art Awards. Hasil karya beliau, ‘Someone Forgotten’ merupakan pilihan ramai.

Analisa Karya ‘Someone Forgotten ‘ Mengikut Teori Pengalaman Pelbagai Edmund Burke Feldman


Aspek Menggambar (Deskripsi) Dalam ‘Someone Forgotten’
Berdasarkan karya ‘Someone Forgotten’ ini, apa yang dapat dilihat buat pertama kalinya ialah konflik hidup seorang tua lelaki, yang pastinya berbangsa Cina. Dari segi pewarnaan, pelukis jelas memilih warna panas iaitu warna kuning dan warna coklat kemerah-merahan. Warna sebegini menjadikan catan ini kelihatan agak suram mungkin seperti kesuraman kehidupan yang dialami oleh lelaki tua itu tatkala ini. Hasil karya ini memberikan bentuk yang sempurna kepada setiap imejnya. Lelaki tua itu digambarkan seorang yang kurus sehingga penampakan tulang belulangnya jelas nyata.Beliau hanya memakai seluar pendek yang pada pendapat saya untuk menggambarkan ketidaksempurnaan hidupnya kini. Secara fizikal dapat dilihat lelaki tua ini pada asalnya  memiliki sesusuk tubuh yang sasa melalui imej lelaki tua yang duduk di tengah-tengah. Ini dilihat daripada ukuran dadanya yang bidang.

Penggunaan ruang dalam karya ini adalah maksimum. Tiada ruang kosong sama sekali. Setiap ruang digunakan dan bermakna. Pada pendapat saya, catan ini dibahagi kepada dua ruang yang dominan iaitu ruang atas dan ruang bawah. Namun ruang atas pula dibahagikan kepada tiga lagi ruang kecil yang menggambarkan kisah hidup lelaki tua ini. Ruang kecil di kiri dan kanan menggambarkan kehidupan lepas lelaki tua ini manakala ruang tengah pula adalah gambaran kehidupannya sekarang.


Sesetengan komentar yang saya baca di internet mengkategorikan catan ‘Someone Forgotten’ ini membawa gaya Surealisme (lihat http://www.theedgegalerie.com/?p=2575). Namun demikian pada pendapat saya, catan ini lebih layak dikategorikan dalam aliran Realisme. Ini kerana tema utama yang dibawa dalam catan ini ialah masa lalu dan masa kini dan Wong Woan Lee tidak menggambarkan sama sekali imej yang di luar jangkaan atau gabungan imej-imej sehinga membentuk imej aneh yang begitu sinonim dengan aliran Surelisme. Memetik petikan dalam buku pameran  “Masterpieces from the National Art Gallery of Malaysia”;
         
The discomforting theme reflected in this work is indicative of the new, more realistic approaches that are now appearing in modern Malaysian art which address the human condition. It is indicative of the excitement of the new figurative impulses practiced by the younger artists in growing numbers. The technical treatment and confidence shown by this young artist tells us that modern Malaysian art has come a long way indeed. If previously, our artists had tended to be involved with more romantic, idyllic and pastoral themes, the new Malaysian figurative art of today reveals a more pragmatic and realistic tendency to address the more complex social problems and issues”.

Aspek Analisis ( analize) Dalam ‘Someone Forgotten’
Bercakap dalam aspek analisis, saya ingin mengulas tentang komposisi ruang yang digunakan pengkarya. Pembahagian ruang kepada dua bahagian utama iaitu bahagian atas dan bawah memaksimunkan penggunaan ruang dalam karya ini. Pembahagian ini menjadikan bahagian atas sebagai ruang masa lampau lelaki tua dan ruang bawah merupakan ruang realiti lelaki tua itu.

Dalam ruang bahagian atas pula terbahagi kepada tiga lagi ruang yang saya labelkan Bahagian 1, Bahagian 2 dan Bahagian 3. Bahagian 1 dan bahagian 3 menunjukkan suasana masa lampau lelaki tua itu. Dalam Bahagian 1, terdapat dua kemungkinan iaitu sama ada imej yang dipaparkan ialah anak-anaknya atau cucu-cucunya manakala Bahagian 3 pula memaparkan imej keluarga lelaki tua itu sedang santai menonton televisyen bersama-sama. Bahagian 2 pula, memaparkan imej Ruang bawah secara lebih lengkap (detail) yang menunjukan betapa sempitnya ruang lelaki tua itu tinggal bagi menghabiskan sisa kehidupannya. Makna setiap ruang ini akan saya ulas dengan lebih lanjut lagi dalam bahagian Interpretasi nanti.
          
Fokus utama yang hendak disampaikan dalam catan ini ialah  kehidupan lelaki tua itu. Ini dapat dilihat melalui ruang bawah yang dikhaskan untuk menunjukkan aktiviti yang dilakukan oleh lelaki tua itu. Setiap satu imeh lelaki tua itu diulang dua kali, yang pertama di ruang bawah dan yang kedua di ruang atas bahagian 2.
          
Ketelitian Wong Woan Lee dalam melukis imej cerminan lelaki tua itu dalam ruang bawah yang melihat beliau dari belakang dan di ruang atas, bahagian 2 adalah imej cerminan dari bahagian bawah yang melihat lelaki tua itu dari bahagian sisi kirinya. Dalam bahagian 2, dapat kita lihat seolah-olah lelaki tua itu melihat gambaran kehidupannya masa lalu dan masa sekarang. Lelaki tua itu merupakan subjek utama dalam karya ini berdasarkan kedudukannya yang berbaring di tengah-tengah catan ini.
         
Aspek Tafsiran ( interpretation )Dalam ‘Someone Forgotten’
Dalam aspek tafsiran (interpretasi) ini, saya akan cuba mentafsi catan ini berdasarkan aspek kebudayaan, moral dan nilai hidup yang pada pendapat saya cuba ditampilkan oleh Wong Woan Lee dalam ‘Someone Forgotten’ ini.
          
Wong Woan Lee seorang berbangsa Cina. Mengikut kebudayaan Cina kepentingan anak lelaki adalah melebihi anak perempuan. Ini kerana anak lelaki adalah generasi yang akan meneruskan warisan manakala anak perempuan akan berkahwin dan akan mengikut suaminya serta memanjangkan warisan suaminya pula.
         
 Bagi adat berkenaan anak lelaki,masyarakat China sangat mengutamakan anak lelaki kerana mereka akan mengekalkan nama keluarganya. Bagi bapa yang tidak mempunyai anak lelaki,papan persembahan tidak akan diletakkan di tempat pemujaan roh selepas meninggal dunia kerana dia dianggap telah gagal memenuhi tangunggjawab terhadap ibu bapanya. Maka,tidak hairanlah dalam masyarakat Cina,anak lelaki yang baru dilahirkan akan disambut dengan penuh meriah”.
          
Melalui ‘frame’ bahagian 1, saya berpendapat dua orang gadis kecil yang dipaparkan ialah anak kepada lelaki tua itu, jadi saya tidak dapat untuk bersetuju dengan buku “Masterpieces from the National Art Gallery of Malaysia”;
“The old man is shown sleeping, talking to his grand children, watching television, staring at a wall and lying sick on a mattress”.

Pada pendapat saya inilah gambaran pelukis kemungkinan ketika lelaki tua itu pulang dari bekerja, dia akan disambut oleh dua orang anak perempuannya. Wajah kedua-dua anak perempuan itu menunjukkan reaksi biasa sahaja. Reaksi sebegini mungkin diakibatkan dengan layanan yang agak kurang mesra yang ditunjukkan oleh si bapa terhadap mereka. Kelihatan tangan lelaki tua itu seolah-olah cuba untuk menggapai kedua-dua anak perempuannya yang membawa kemungkinan bahawa lelaki tua itu begitu merindui saat itu berulang kembali. Kenyataannya, dalam situasi sebenar lelaki tua itu hanyalah merenung dinding sahaja. Kehampaan ini ditujukkan di bahagian dua di mana dia memegang kepalanya yang seolah-olah menyatakan bahawa terdapat kekesalan di hatinya dan juga situasi itu tidak akan berulang kembali.


Dalam ‘frame’ bahagian 3, digambarkan lelaki tua tersebut sedang santai menonton televisyen bersama keluarganya iaitu bersama isteri dan dua orang anak perempuannya. Gambaran  lelaki tua itu menikmati saat-saat tersebut dapat dilihat melalui imej dia menongkat dagu, kemungkinan mengenangkan kembali saat-saat tersebut. Dan akhirnya berbalik juga keadaannya ke imej lelaki tua di bahagian 2, di mana beliau menyedari bahawa saat-saat gembira seperti itu tidak mungkin akan berulang kembali dalam hidupnya. 

Dalam keadaan baring terlentang, lelaki tua itu hanya mampu memandang siling rumah tersebut kerana memikirkan  apa akan terjadi seterusnya. Mungkin perlu diteliti beberapa objek kecil yang terdapat di sisi lelaki tersebut. Objek-objek ini menggambarkan betapa dia rindu akan keadaan sebelumnya.


Objek-objek itu terdiri daripada bola kecil permainan kanak-kanak dan sebuah bingkai gambar yang berkemungkinan gambar keluarganya. Secara realitinya, gambaran bahagian 2 adalah sutuasi sebenar lelaki tua tersebut yang terbaring di atas tilam nipis bercadar berwarna coklat sedang merenung siling seolah-olah meramal masa depannya yang masih kabur. Tempat lelaki tua itu sebenarnya hanya sebuah bilik sempit yang pengap yang hanya mempunyai sebuah tingkap sahaja sebagai agen pengaliran udara. Perhatikan juga dua orang wanita yang sedang melihatnya di tingkap. Pada pendapat saya kedua-dua wanita tersebuta ialah anak perempuannya yang hanya sanggup memandang bapa mereka tanpa dapat mengambil tindakan sewajarnya. Walaupun masih ada rasa simpati (melihat keadaan bapa secara sembunyi) namun tiada apa-apa tindakan dapat mereka lakukan. Berkemungkinan, kedua-duanya telah berkahwin dan mempunyai komitmen terhadap keluarga masing-masing atau mungkin juga sebagai akibat kepada sikap bapa yang kurang memberi tumpuan kepada anak perempuan.
          
Warna yang digunakan dalam catan ini adalah warna kuning dan warna coklat kemerah-merahan. Warna sebegini membawakan suasana suram dan boleh mendatangkan ‘mood’ sedih kepada audiens. Warna kuning yang digabungkan dengan warna coklat kemerah-merahan, dalam realiti kehidupan, warna-warna sebegini hanya kelihatan pada wakru senja sahaja. Penggunaan warna ini oleh Wong Woan Lee berkemungkinan melambangkan usia tua lelaki tua tersebut yang telah menghampiri waktu – waktu terakhirnya  dalam kehidupan. Warna sebegini mengingatkan saya kepada catan-catan zaman Romantisme di mana penggunaan warna ketika itu tifdaklah semeriah pada masa kini. Kesuraman warna pada aliran Romantisme ini menggambarkan perjuangan dan penderitaan hidup. Nampaknya maksud ini boleh digunapakai bagi hasil karya Wong Woan Lee ini yang menunjukkan penderitaan hidup lelaki tua itu.
          
Jalinan yang terdapat dalam catan ini dilukiskan begitu teliti. Cuba lihat kain alas tilam yang berkedut-kedut itu. Lukisan alas tilam ini begiti teliti di mana jalinan yang dibuat menunjukkan kepekaan  pelukis terhadap keadaan kehidupan harian. Begitu juga dengan figura-figura yang ditunjukkan. Semuanya menyerupai figura sebenar tanpa penambahan atau pengurangan kecuali lelaki tua itu digambarkan tersangat kurus sehingga menampakkan tulang-tulangnya seperti tulang rangka dan tulang belakang.

Aspek Penilaian ( evaluation ) Dalam ‘Someone Forgotten’
Dari sudut penilaian karya, ‘Someone Forgotten’ memenuhi kehendak asas seni reka di mana aspek-aspek unsur-unsur seni dijalin indah bagi menghasilkan sebuah karya yang sarat dengan keindahan seninya walaupun membawa tema yang agak menyedihkan. Kesesuaian warna dalam catan ini memberikan impak kesedihan kepada audiens.
          
Dari aspek ekspresif pula, catan ini dengan mudah dapat menarik minat audiens untuk menyaksikannya. Walaupun dalam catan ini terdapat beberapa ‘frame’ bahagian-bahagian, namun secara amnya tema dan persoalan catan ini mudah difahami. Ini kerana pelukis membawa aliran realisme iaitu melukis dari sudut kehidupan sebenar. Oleh itu, audiens dengan  mudah memahami perasaan kesedihan lelaki tua itu ditambah dengan mainan pewarnaan yang berkesan mewujudkan ‘mood’ sedih di hati audiens.
          
Dari sudut instrumentalisme pula, dapat dinilaikan bahawa karya ini amat berkesan dalam mengkritik cara hidup sesebuah masyarakat terutama masyarakat Cina yang begitu mementingkan anak lelaki berbanding anak perempuan. Begitu juga penting bagi seseorang anak untuk menilai tanggungjawab mereka terhadap penjagaan ibu bapa ketika masa tua mereka. Bukan sekadar menjadi penonton terhadap nasib yang dialami oleh orang tua itu. Kadang-kala anak-anak lebih suka berlepas tangan dalam isu-isu penjagaan ibu bapa seperti ini. Bagi ibu bapa yang telah berkorban untuk keluarga mereka pastinya tidak mengharapkan penyudah hidup sebegini. Kecintaannya kepada keluarga sentiasa membuatkan kenangan tersebut tidak mudah padam dari ingatan mereka. Bagi anak-anak pula, jangan begitu mudah meletakkan penjagaan ibu bapa di rumah-rumah kebajikan dan hanya datang menjenguk dari kejauhan untuk memastikan mereka masih lagi hidup.
          
Hasil karya Wong Woan Lee ini banyak menyindir generasi baru yang memandang mudah terhadap aspek-aspek penjagaan ibu bapa yang telah tua.

Kesimpulan
Secara amnya, para pelukis juga memainkan peranan penting dalam menjunjung nilai-nilai murni yang perlu diserapkan dalam masyarakat. Hasil karya sebegini merupakan satu anjakan paradigma dari satu cara berfikir untuk menyelesaikan masalah kepada tanggungjawab untuk menyelesaikan sesuatu isu yang menghimpit masyarakat kini.
          
Para pelukis muda Malaysia kini mula menunjukkan kritikan mereka terhadap masyrakat melalui karya-karya yang mereka hasilkan. Ini menunjukkan bahawa angkatan pelukis muda ini lebih jujur dalam meyampaikan isu-isu yang melibatkan amalan budaya sesebuah masyrakat. Amatlah dialau-alukan para pelukis dapat menyampaikan idea dan kritikan yang membina dalam setiap hasil karya mereka. BY SITI HAYATI

 





Comments

Popular posts from this blog

Teori Herbert Read dan Victor Lowenfeld dalam dimensi psikologi PSV dalam PdP

"PENGALAMAN PENDIDIKAN SENI MEMBANTU MENINGKAT KREATIVITI DALAM KEHIDUPAN SOSIAL MASYARAKAT" BY SITI HAYATI